Sabtu, 8 Mei 2010

Tuan Guru Haji Azahari Razak


Tuan Guru Azahari Razak: Ulama tegas tapi terbuka PDF Cetak emel
Ditulis oleh pondokpakya
Selasa, 28 Julai 2009 16:13



KETIKA PAS lebih terkenal kerana dipimpin oleh ulama-ulama lepasan Mesir dan Makkah pada 1950-an, muncul seorang ulama keluaran India dalam kepemimpinan PAS di Kedah.





Beliau ialah Ustaz Azahari Abdul Razak, bekas Pesuruhjaya PAS Kedah yang sangat dihormati di kalangan pemimpin PAS mahupun masyarakat Kedah. Pada peringkat awal, tidak ramai tokoh lepasan India menyertai PAS kecuali beberapa kerat sahaja seperti Ustaz Abu Bakar Umar, Dr Burhanuddin al-Helmy, Tuan Guru Haji Abbas Terengganu, Haji Ahmad Perai, Datuk Ishak Baharom dan lain-lain.

Tuan Guru Azahari dilahirkan pada 6 Jun 1925 di Kampung Alor Mengkudu, Pokok Sena, Kedah. Beliau ialah anak kelima daripada lapan beradik yang berbapakan seorang yang amat menitikberatkan pendidikan agama anak-anak.

Kecerdasan Ustaz Azahari telah dikesan semenjak kecil ketika berada di Sekolah Melayu Alor Mengkudu. Kerana kecemerlangannya, beliau ditawarkan belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid pada 1937, tetapi ditegah oleh bapanya. Bapanya bimbang sekiranya anak kesayangannya ini terpengaruh dengan pemikiran penjajah dan terjejas akidah jika belajar di sekolah yang ditubuhkan oleh penjajah ini.

Sebaliknya, beliau dihantar mendalami ilmu agama di Pondok Haji Majid, Guar Chempedak selama dua tahun dan sempat berguru dengan Pak Ya Junid di pondok ini pada 1939. Setelah itu, menjelang Perang Dunia Kedua, beliau memasuki Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar dan berguru dengan Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi selama beberapa tahun.

Selepas perang, beliau berhijrah pula ke Batu 16, Padang Lumat untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Yahya Junid, seorang ulama muda yang terkenal ketika itu kerana kegiatan-kegiatan politiknya yang juga bekas gurunya.

Tidak lama di Padang Lumat, Ustaz Azahari mendengar kemasyhuran Maahad Il Ihya as-Syariff yang ketika itu dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ketua Hizbul Muslimin Malaya. Tertarik dengan kemasyhuran itu, Ustaz Azahari berpindah pula ke Gunung Semanggol selama dua tahun dan menghabiskan pengajian Qismul Ali di sini.

Peristiwa penangkapan Ustaz Abu Bakar al-Baqir pada 1948 kerana kegiatan politik antipenjajah telah menyebabkan Ustaz Azahari berasa tidak selesa di Gunung Semanggol. Pada tahun itu juga, bersama abangnya, Ustaz Abdul Rashid Abdul Razak, beliau bertolak ke India dan memasuki Kuliyah Pengajian Islam di Deoband.

Beliau tiba di Deoband lebih awal daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tetapi tidak belajar di Darul Ulom yang terkenal itu. Dua tahun kemudian, beliau bersama Ustaz Abu Bakar Awang Perlis menyambung pengajian di Baqiatus Solehat, Velor selama dua tahun. Serentak dengan itu juga, Ustaz Azahari mengikuti pengajian bahasa Arab di Universiti Lucknow sehingga membolehkannya menguasai bahasa Arab, Urdu dan Inggeris dengan baik. Beliau menjadi antara ulama yang berupaya melakukan murajaah dalam kitab Arab moden dan klasik.

Setelah empat tahun di India, Ustaz Azahari kembali ke Kedah pada 1952 dan menyertai semula gurunya, Tuan Guru Haji Yahya Junid di Padang Lumat. Pada 1953, beliau dikahwinkan dengan puteri gurunya, Hajah Asma Yahya dan telah dikurniakan 13 cahaya mata. Ustaz Azahari kemudian menjadi tenaga pengajar di pondok ini sehingga akhir hayatnya.

Pada 1970-an, beliau dilantik sebagai Pengetua Madrasah Taufiqiyah al-Khairiyah al-Halimiyah dan berjaya membuka cawangan madrasah di Guar Chempedak pada 1979. Kerana keterlibatan beliau di pondok inilah, maka beliau berpeluang memberikan sumbangan besar kepada perkembangan Islam di negara ini hampir 50 tahun lamanya. Satu kata-katanya yang masyhur, "Saya akan mengajar sampai mati!"

Latar belakang pendidikan Ustaz Azahari bermula dengan gurunya, Lebai Othman al-Yunusi, pengasas PAS Kedah; Pak Ya Junid, pengasas PAS; Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin; dan gerakan politik Islam di India, Ustaz Azahari semacam tidak mempunyai pilihan melain terjun berjuang menegakkan agama Allah bersama PAS sebaik sahaja pulang dari India.

Beliau menyertai PAS di bawah pimpinan mertuanya, Pak Ya Junid yang merupakan Ahli Jawatankuasa Agung PAS ketika itu. Ketika PAS Cawangan Bukit Besar dibuka oleh Lebai Othman al-Yunusi, beliau menjadi ahli di sini pada 1952. Setahun kemudian, PAS Ranting Batu 16 Padang Lumat ditubuhkan dan Ustaz Azahari menjadi Setiausaha Ranting selama 10 tahun.

Mulai 1963, Ustaz Azahari dilantik pula menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Kedah menggantikan Ustaz Abu Bakar Umar yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pada zaman beliaulah, Pejabat Perhubungan PAS Kedah dipindahkan dari Guar Chempedak ke Alor Setar pada 1968. Setelah itu, satu usaha dibuat untuk membina Bangunan PAS Kedah di Alor Setar dan ia berjaya disiapkan pada 1976. Pada 1969, telah berlaku satu tuduhan oleh Tunku Abdul Rahman terhadap PAS di mana Perdana Menteri menuduh PAS menerima bantuan asing dalam menghadapi pilihan raya.

Tunku Abdul Rahman kemudian bersumpah di Masjid Zahir dengan disaksikan oleh Ustaz Azahari, Pak Yusof Rawa dan Ustaz Abu Bakar Umar. Datuk Mohd Asri bersumpah di Masjid Muhammadi, Kota Bharu bagi pihak PAS bersaksikan Tengku Razaleigh. Selepas sumpah ini, Umno kalah teruk dan Tunku Abdul Rahman terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada 1972, ketika krisis politik tercetus dan PAS dijemput menyertai kerajaan campuran, Dewan Ulama PAS telah menubuhkan Majlis Tarjih untuk menentukan hukum menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan. Ustaz Azahari adalah salah seorang daripada 23 ulama yang terlibat.

Ustaz Azahari memberikan pandangan yang tegas bahawa haram bekerjasama dengan Umno kerana Islam (PAS) dan sekular (Umno) adalah dua ideologi yang bertentangan, terutama Umno yang menolak hukum dan sistem pemerintahan Islam. Namun, 14 daripada ahli majlis tarjih ini berpandangan harus bekerjasama dengan Umno.

Setelah Mesyuarat Agung Khas PAS pada 21 Disember 1972 memutuskan bersetuju bekerjasama dengan Umno, Ustaz Azahari menerimanya dengan hati yang terbuka. Bahkan, beliau membantu mertuanya yang bertanding di Dun Sala pada 1974 atas tiket BN.

Sepanjang tempoh antara 1960-an hingga 1990-an juga, Ustaz Azahari terlibat aktif dan memegang pelbagai jawatan dalam Dewan Ulama PAS di peringkat Pusat mahupun negeri. Antara jawatan beliau yang penting ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Persuruhjaya PAS Kedah dan juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS semenjak 1987 hingga 1999.

Pada 1986, Ustaz Azahari telah memenangi pilihan raya umum di Dun Sala selama satu penggal. Ustaz Azahari juga dilantik oleh kerajaan Kedah sebagai Ahli Majlis Fatwa Kedah dan Ahli Majlis Agama Islam Kedah bersama mentuanya, Pak Ya Junid. Tetapi kerana mereka berdua memfatwakan kematian Ibrahim Libya sebagai syahid, mereka telah dipecat daipada kedua-dua badan agama ini. Namun begitu pada 1999, kerajaan Kedah telah menganugerahi beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah 1420.

Ketika PAS sibuk menyambut jubli emas perjuangannya, Ustaz Azahari hadir bagi memenuhi jemputan untuk slot pengkisahan sejarah PAS Kedah pada 16 Jun 2001 dalam Seminar Pengkisahan Sejarah PAS Kedah walaupun dalam keadaan uzur. Keesokannya, tersiar berita bahawa beliau meninggal dunia di Guar Chempedak. Jenazah beliau disembahyangkan di Dewan Madrasah Taufikiah oleh ribuan orang termasuk pimpinan PAS Negeri, Mufti Kerajaan Kedah, Dato? Sheikh Abdul Majid Mohd Noor dan bekas Yang Dipertua ABIM Kedah, Ustaz Ghazali Abdullah. Beliau kemudian dikebumikan di perkuburan Pekan Guar Chempedak.

Kematian beliau dikenang oleh murid-muridnya sebagai kehilangan seorang "guru, pendidik, pendakwah dan juga seorang Pengetua yang berdedikasi, tegas, berhikmah, tekun dan mencerminkan seorang pendidik, pendakwah dan sekaligus pemimpin yang bersifat tawaduk, tapi tegas serta memiliki prinsip yang jelas dalam mendaulatkan Islam dan kehidupan Islam di kalangan murid-murid yang dipimpinnya".

Beliau juga merupakan seorang yang "sangat jujur, amanah dan ikhlas kepada ilmunya, Islam dan dakwah Islam," ulas bekas murid beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan